Yasmin Hani Menghitung hari menjelang Oktober


YASMIN Hani kini sedang menghitung hari menjelang hari bahagianya pada bulan Oktober ini.

Selepas lebih setahun menyulam cinta bersama Sha'arin, Hani secara terus-terang memberitahu dia bakal menamatkan zaman bujangnya bersama buah hatinya itu sekitar pertengahan bulan Oktober ini.

"Tetapi, saya mahu meminta maaf kepada semua pihak bahawa majlis perkahwinan saya akan diadakan secara kecil-kecilan sahaja.

"Saya hanya akan menjemput mereka yang rapat dengan saya sahaja bagi meraikan hari bersejarah itu. Majlis saya itu cukup ringkas apabila kami hanya akan bernikah dan bersanding sahaja. Malah, tiada juga majlis pertunangan," katanya tanpa selindung.

Hani menjelaskan memang dia mahu mengadakan sebuah majlis perkahwinan yang kecil namun meriah dengan kehadiran mereka yang memainkan peranan penting dalam kehidupannya.

"Saya tidak perlu mengikut trend seperti orang lain. Masing-masing ada hak dan cita rasa untuk mengadakan majlis yang mereka idamkan. Begitu juga dengan diri saya.

"Buat apa kalau mengadakan majlis besar-besaran tetapi hanya akan mengundang kata-kata yang kurang manis serta dilabelkan sebagai mahu menunjuk-nunjuk.

"Saya tidak mahu menjadi seperti itu. Adalah lebih afdal apabila menghadiri mana-mana majlis perkahwinan untuk mendoakan yang terbaik untuk pasangan pengantin. Itulah yang saya mahukan daripada semua orang untuk mendoakan kesejahteraan hidup saya dan bakal suami," kata pemilik nama penuh Yasmin Hani Richardson Ismail Richardson ini penuh jujur.

Dalam usianya yang sudah mencecah 32 tahun itu, kata Hani, dia memang sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu.

Baginya, untuk menjadi seorang ibu dan isteri yang baik ia tidak akan datang dengan sendirinya melainkan perlu menempuhi alam perkahwinan itu bagi merasai sendiri pengalaman tersebut.

"Bagaimana kita hendak merasai pengalaman itu seandainya kita sendiri tidak melaluinya. Semua ini adalah proses pembelajaran dan kita tidak akan menjadi bagus hanya dalam sehari," ujarnya lagi.

Selanjutnya:Utusan Malaysia

0 Responses